Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia. Penguasaan bahasa Melayu amatlah penting untuk memupuk perpaduan negara kerana bahasa Melayu merupakan alat komunikasi penduduk pelbagai kaum. Pepatah Melayu mengatakan melentur buluh biar dari rebungnya, maka pembelajaran dan penguasaan bahasa Melayu seharusnya ditekankan dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

PdPR secara dalam talian semasa era pendamik Covid-19 yang kurang menyeluruh telah menyebabkan defisit pembelajaran berlaku dalam kalangan murid. Kebanyakan murid tidak dapat menguasai kemahiran berbahasa dengan berkesan. Isu ini akan berterusan sehingga ke peringkat sekolah menengah.

Sehubungan itu, bagi menghasilkan generasi yang celik berbahasa Melayu, maka, Program Inisiatif Memperkasakan Bahasa Melayu SJKC dilaksanakan bagi merapatkan jurang pembelajaran. Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah serta meningkatkan kesediaan dan keyakinan murid menghadapi pembelajaran di peringkat sekolah menengah. Akhirnya, dapatlah merealisasikan wawasan ke arah 'SIFAR PERALIHAN'.

Pembelajaran bahasa Melayu memerlukan proses yang berterusan dan perlu sokongan padu daripada pihak berkepentingan. Diharapkan inisiatif ini dapat meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu bukan sahaja melalui PdP di sekolah, malah dapat memantapkan pembelajaran kendiri secara dalam talian di rumah.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, pelbagai program dan aktiviti pembelajaran telah dirancang dan disediakan menerusi program ini, seperti:

  1. Kempen Membaca Buku Bahasa Melayu
  2. Pertandingan Melafazkan Pantun
  3. Aktiviti Berunsur Didik Hibur Seperti Nyanyian dan Lakonan
  4. Pertandingan Penulisan Dalam Bahasa Melayu
  5. Pameran Budaya Tradisional Melayu
  6. Kelas Penggalak Literasi Bahasa Melayu